Friday, January 21, 2011

rahsia solat

Bismillahirahmanirrahim
Selawat dan salam keatas junjungan nabi Muhammad S.A.W, dan pada keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda. Moga kita sentiasa dalam keredhaanNya. Walau dalam apa juga amal ibadah ataupun adat kita seharian…
Kita tidak dapat lari dari tugas dan hakikat penciptaan manusia yang tercipta dengan sebaik-baik kejadian seperti mana yang termaktub di dalam qalam Allah yang menyebut manusia sebagai ahsanitaqwin.  Oleh itu, dari istilah sebaik-baik perciptaan itu, sudah tentulah kita terbentuk dengan semulia-mulia makhluk. Oleh itu, kita sebagai insan haruslah mencari dan meneliti kemulian kita agar kita dapat mencari kekuatan dengan rahsia kemulian itu agar kita dapat melihat kemuliaan manusia berbanding dengan makhluk lain. Barulah kemuliaan itu akan memberi erti dan semangat kepada kita sebagai makhlukNya.
Sesungguhnya, tiadalah setiap penciptaan Allah itu sia-sia. Kerana Allah Maha Suci dari segala yang sia-sia. Oleh itu, setiap amalan yang menjadi perintah sama ada perintah untuk membuat atau perintah larangan itu jauh dari sifat sia-sia. Hanya yang menjadi persoalan sama ada rahsia suruhan Allah itu boleh difikir atau tidak. Justeru, ramai manusia yang menuju kesesatan apabila mereka mula mempersoalkan mengenai setiap suruhan walaupun pada hakikatnya, ada rahsia perintah Allah itu hanya dimaklumi oleh Allah semata-mata yang mana mungkin bagi menguji iman manusia itu semata-mata.
Meneliti kisah perjalanan bagaimana dan sejak bilakah solat itu disyariatkan. Ianya bukanlah suatu ciptaan baru seperti yang didakwa oleh mereka yang jahil kerana sesungguhnya, pensyariatan solat itu bermula dari manusi pertama , iaitu Nabi Adam a.s sehingga akhirnya kepada Nabi Muhammad SAW. Yang berbeza hanyalah khaifiat mengerjakannya. Berkebetulan itu juga, wajiblah kita meneliti bagaimana peristiwa Israk Mikraj dalam penetapan rakaat, bagaimana susahnya Rasulullah SAW yang terpaksa naik turun demi memenuhi keinginan manusia yang semakin lemah  dari beribu-ribu rakaat hinggalah lima waktu sehari semalam.
Manusia menggunakan solat dan doa sebagai wasilah dalam berkomunikasi dengan Allah, dan dalam berhubung secara maknawi dengan Rabbul Jalalah. Jika mereka menganggap solat itu tidak berguna maka, putuslah hubungan mereka dengan Allah. Solat dijadikan oleh Allah sebagai amalan yang pertama dinilai oleh Allah. Begitu baik manusia, maka, begitulah baik solatnya sehingga solat itu menjadi tiang agama Islam. Tanpa sembahyang, maka runtuhlah agamanya.
Jika meneliti sepenting itu solat diletakkan maka, sudah tentu manusia memerlukan disiplin dan  kekuatan jati diri yang kuat bagi mendapat tempat dan darjat yang tinggi disisi Allah. Seperti mana kita ketahui, solat akan mencegah dari melakukan perkara yang keji dan mungkar, namun, sudah tentu solat itu mengajar manusia berdisiplin kerana, tanpa sempurnanya segala rukun dan syarat, solat itu hanyalah sia-sia. Manusia diajar berdisiplin dengan masa, dengan tempat dan dengan peraturan solat yang mudah bagi mereka yang melaziminya, dan sukar bagi yang jarang sekali melaziminya.
Sesuai dengan hal itu, manusia akan mula memperingatkan diri sendiri untuk menjaga diri sendiri agar jauh dari segala dosa dan mendekati pahala yang dijanjikan oleh Allah. Manusia yang mudah leka jika sentiasa beringat akan mula berlaku syadid kepada diri sendiri kerana bimbangkan amaran Allah yang amat pedih. Begitu mudahkah manusia membimbing diri sendiri dan memberi amaran kepada nafsu agar tidak mendekati larangan andai tiada kekuatan dalam diri dan batin yang hanya bisa diterapkan dengan solat .
Solat merapatkan ukhuwah dan ikatan antara makhluk kerana, dengan solat manusia akan mula berhubungan didasari dengan iman dan ilmu untuk mendekatkan diri dengan pencipta, Zat yang Maha Agung. Mungkin manusia mahu belajar dari manusia lain bagaimana solat itu. Semua ini akan memperlengkapkan diri manusia untuk menjalankan hablu minannas. Selari dengan itu, hablu minallah juga dapat dirapatkan sekaligus, asalkan niat manusia itu ikhlas.
Selain itu, solat juga mempunyai alamat dan petunjuk yang akan mendekatkan diri dengan Allah. Setiap rukun yang tersembunyi itu mengandungi nilai dan rahsia yang tersembunyi. Sebagai contoh, sujud jika dilakukan tanpa solat maka, sudah tentu mendatangkan kesakitan pada kepala kerana paksi dan rahsia maknawi yang ada pada solat itu. Hal ini berlainan jika dilakukan didalam solat yang mana rukun sujud didalam solat tidak diselangi dengan kesakitan. Begitu juga rukun-rukun lain. Setiap suatu  itu adalah bersifat tidak sia-sia. Kerana itulah, kita dianjur solat walaupun dalam setiap keadaan, hatta ketika mengalami kesakitan.Solat itu adalah senaman yang kita lakukan lima kali dalam sehari. Jika kita amati, solat akan meregangkan otot-otot dan saraf-saraf yang ada pada manusia. Hal ini telah dibuktikan oleh para pengkaji yang menganggap solat adalah amalan yang penuh dengan sia-sia. Oleh itu, lazimilah solat kerana, ia amat jauh dari perkara yang sia-sia malah ia penuh dengan rahsia berguna untuk kita.
wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment